Friday, February 24, 2017

SELOKA PESARA

ASSALAMUALAIKUM...

 

MEMBELI

 

Kadang terpaksa pergi membeli

terlupa barang ulang berkali

.

Anak di rumah memesan susu

melihat harga terkapa lesu

.

Mencari ikan di gerai cuma

tunggu giliran beratur lama

.

Dari dahulu suka pelaling

kala dipilih ada yang jelling

.

Teringin juga beli tenggiri

sedikit saja bajet diberi

.

Mengintai sayur mengirai-ngirai

diambil hanya sebatang serai

.

Semua barang harga meningkat

darah pun naik bertingkat-tingkat

.

Cuba serasi norma baharu

kejadiannya mengharu-biru

 

TERLUPA

 

Lupa bismilah ketika makan

syaitan tertawa turut raikan

.

Apa dijanji tidak tunaikan

riuh diumpat dikeji sakan

.

Hendak kenduri lupa menjemput

sibuk mengurus datanglah semput

.

Nak balik kampung jalan terlupa

seganlah pula menegur sapa

.

Di dalam rumah lama berkurung

diam sendiri jiwa pun murung

.

Konon berakhir fasa pandemik

masih terlupa sudah endemik

.

Jauh berjalan rata jelajah

saudara dekat terlupa terjah

.

Usia tua penyebab lupa

sakitnya pula timpa-menimpa

 

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

12/10/021

 

CUACA

.

Berbahang haba cuaca panas

gerak dan laku bertindak ganas

.

Air di pili tidak mengalir

tiada kerja hanya bergulir

.

Bertanya hujan lama tak turun

baru sebulan bukan berkurun

.

Tatkala langit bermega mendung

girangnya hati mekarlah kidung

.

Jangkanya hujan akan mencurah

air di guri habis dicurah

.

Mega dan mendung berlalu pergi

hujan dinanti tak turun lagi

.

Gelabah pula tidak terkata

Angin dan rebut yang turut serta

.

Hadir cuaca serba tak kena

Sedia cara

.

 

 

PELARIAN

.

Mesti berlari sekuat hati

jauhkan diri langkah amati

.

Kalaulah masih tunggu di situ

nasib mudarat sudahlah tentu

.

Apa yang mampu semua bawa

demi teruskan hidup bernyawa

.

Menumpang kapal menukar arah

tinggal segala jadi sejarah

.

Pertaruh harap setinggi mercu

meriah rona semerah gincu

.

Bungkusan lusuh buang ke laut

tiang gaharu erat dipaut

.

Tanah yang hujung sampailah jua

ingin dihuni sehingga tua

.

Mungkinkah sudah jemu berlari

sukar meneka rentak menari  

 

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

 

Andai berlaku terlalu lama

berubah corak hidup tak sama

.

Panggung wayang filem tak ditayang

di rumah saja membayang-bayang

.

Di malam hari tutup cerita

tidur terlena belum gelita

.

Pulang ke kampung tersesat jalan

terlupa arah mana pengkalan

.

Di lebuh raya sunyi pengguna

pagar berduri di mana-mana

.

Hanya yang tahu minum dan makan

badan berisi gedempol sakan

.

Lepak-melepak tiada lagi

budaya kuno penyebab rugi

 

Angkara Covid Sembilan belas

sejarah lama diubah jelas


SELOKA
PESARA

Berkhidmat sudah sekian lama,
tiba waktunya bersara pula.

Kala bersara banyaklah masa
tak payah sibuk pergi bekerja.

Bangun pagi duduk bersandar,
sambil sarapan menyelak akhbar.

Duit gratuti berkarung juga,
serata tempat boleh belanja.

Sukanya hati bukan kepalang,
dapat melihat negara orang.

Makan dan pakai ikut selera,
duit banyak tak perlu dikira

Namun perlulah berjimat cermat,
hasil  pesara sikit teramat.

Ingat jikalau diserang sakit,
hendak berubat tidak berduit.

Belanja apa berfikir panjang,
 tenanglah hidup hati pun girang.

Sisa umur pun tinggal sedikit,

ilmu agama biar membukit.

4 comments:

  1. Walaikumussalam kak PI..
    Bila baca di PC baru boleh komen..
    Kalau di handphone macam tak ada pulak kotak komen ni :)

    Santai sungguh seloka kak PI ni..
    tapi mencuit hati juga membacanya..
    Saya pulak tak sabar nak bersara..
    Hahhaha lama lagi tu..
    adalah 8 tahun lagi..

    ReplyDelete
  2. Wkmsalam.
    Untung jadi pesara
    ada graduiti, ada pencen bulanan.
    semuga dimanfaatkan masa yang tersisa.

    ReplyDelete